Powered by Blogger.
RSS

Mengapa Muzik Patut Diajar Di Sekolah

Written by Johami Abdullah @ Joe Chelliah 
 
Seorang pendidik muzik harus dapat memberi rasional serta sebab-sebab yang wajar dan meyakinkan mengapa mata pelajaran muzik patut diadakan dalam kurikulum sekolah. Guru Matematik atau Sains boleh berbuat demikian untuk mata pelajarannya dengan amat mudah pada hari ini. Bagaimana pula dengan pendidik muzik?

Segala bentuk seni, termasuk muzik, merupakan satu saluran unik yang boleh menentukan tahap pencapaian mana-mana satu tamadun. Seni adalah amat penting dan unik kerana segala bentuk seni membezakan tingkah laku manusia daripada makhluk-makhluk lain. Malah kajian-kajian dalam bidang arkeologi dan antropologi menunjukkan dengan jelas bahawa setiap kelompok manusia telah mengadakan beraneka jenis aktiviti muzik sepanjang zaman. Para ahli falsafah dan psikologi yang diakui sebagai "gergasi" dalam bidang pendidikan sejak Plato telah mengesyorkan supaya muzik harus dipelajari oleh semua orang supaya proses pendidikan itu cukup sempurna. Di bawah ini tercatat beberapa sebab
(berpandukan The School Music Program: Descriptions and Standards (Reston, Virginia: MENC, Edisi Ke-2, 1986) mengapa mata pelajaran muzik harus diadakan dalam kurikulum formal di sekolah-sekolah.

1. Adalah memang wajar bahawa setiap individu mempelajari muzik tanpa apa-apa sebab yang tertentu (muzik semata-mata untuk muzik). Muzik merupakan satu bidang yang begitu kaya dengan beraneka jenis pengetahuan, kemahiran, dan cara-cara berfikir yang amat berbeza dari zaman ke zaman dan dari tempat ke tempat. Kebolehan untuk bermain muzik, menyanyi, atau menghayati muzik sama ada untuk menghiburkan diri sahaja ataupun untuk memperkembangkan intelek seseorang itu adalah amat wajar bagi setiap insan.

2. Ia merupakan satu matlamat pendidikan yang utama untuk mewariskan budaya sesuatu bangsa itu termasuk warisan budaya manusia yang silam kepada generasi muda. Satu komponen utama dalam mana-mana budaya ialah amalan muzik bangsa itu sendiri. Oleh yang demikian, pendidikan muzik boleh dianggap sebagai satu lagi saluran yang sihat untuk mencapai objektif ini.

3. Potensi muzik yang terpendam di kalangan para pelajar boleh dicungkil dan dipelihara dengan amat baik semasa mereka masih bersekolah lagi. Potensi dan bakat muzik yang terpendam di kalangan para pelajar sama pentingnya dengan potensi dan bakat lain seperti kemahiran-kemahiran linguistik atau psikomotor yang juga boleh dicungkil pada peringkat sekolah. Dengan itu, adalah amat merugikan sesuatu bangsa jika setiap kanak-kanak tidak berpeluang untuk menguji bakat muzikalnya sewaktu bersekolah lagi.

4. Muzik juga merupakan salah satu aktiviti utama yang membolehkan kita menyalurkan sumber tenaga kreatif yang semula jadi. Selain itu, muzik juga dapat memberikan peluang kepada setiap individu untuk meluahkan perasaannya secara sihat. Aspek ini amat penting untuk mengimbangkan lagi proses pendidikan semasa yang memberi tekanan yang begitu ketara dalam bidang sains dan teknologi mengikut satu arah aliran di merata dunia. Muzik juga membolehkan setiap individu, malah setiap bangsa mempertunjukkan atau memperlihatkan identiti masing-masing.

5. Pembelajaran muzik dapat membantu kita untuk lebih memahami sifat manusia dari aspek perhubungan antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam dan juga tentang ibadah dan kerohanian manusia. Kita juga dapat mempelajari tentang beraneka jenis kebudayaan lain di dunia dengan lebih mendalam melalui saluran muzik.

6. Pembelajaran muzik di sekolah-sekolah boleh dianggap sebagai satu dimensi tambahan yang memberikan peluang kepada pelajar untuk menikmati kejayaan secara individu. Ini adalah lebih penting bagi mereka yang senantiasa kurang merasai kejayaan dalam bidang-bidang lain. Di sini kita diingatkan bahawa kejayaan dalam sesuatu adalah amat penting untuk membentuk satu sikap positif tentang keyakinan diri dan ego bagi setiap pelajar. Maka, proses persekolahan tidak seharusnya tertumpu kepada mata- mata pelajaran kognitif sahaja sehinggakan kepentingan pelajar-pelajar yang berbakat dalam bidang afektif lain seperti muzik dan seni lukis tidak diambil kira langsung. Situasi seperti ini boleh menghampakan pelajar-pelajar berkenaan dan ekoran daripada perasaan itu banyak lagi masalah sosial boleh timbul. Selain itu, pelajar yang berjaya dalam mata-mata pelajaran yang dianggap lebih kognitif juga harus berpeluang menceburkan diri dalam bidang afektif supaya proses pendidikan itu lebih seimbang.

7. Pembelajaran muzik secara formal dan sistematik boleh meningkatkan lagi paras penghayatan muzik di kalangan pelajar dan membantu mereka dalam menghayati muzik yang lebih canggih dan kompleks. Mereka juga berpeluang untuk mengenali muzik daripada budaya dan tamadun lain. Peluang untuk mempelajari atau menghayati bentuk-bentuk muzik tersebut amat kurang di luar proses persekolahan.

8. Melalui pembelajaran muzik para pelajar akan berpeluang untuk mempelajari sistem simbologi muzik yang juga merupakan satu lagi sistem simbologi manusia yang sungguh hebat. Setiap pelajar di sekolah diwajibkan supaya mempelajari sistem-sistem simbologi dan ikonografi yang terdapat dalam matematik, sains, dan bahasa-bahasa tertentu. Maka, para pelajar harus juga diberi peluang untuk mempelajari sistem simbologi yang digunakan untuk seni muzik.

9. Adalah amat mustahak bagi setiap pelajar menyedari bahawa bukan semua aspek kehidupan manusia boleh dinilai secara merata atau sejagat. Adakalanya sesuatu isu tentang soal kehidupan atau tingkah laku manusia boleh dilihat dan difahami dengan beraneka cara. Muzik boleh menyampaikan nilai-nilai seperti ini dengan amat berkesan. Dalam suasana yang mengagung-agungkan materialisme, pembelajaran muzik boleh memberi satu perspektif yang lebih seimbang terhadap kehidupan kita.

10. Muzik telah memainkan peranan yang utama dalam kehidupan manusia untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan manusia di seluruh dunia. Manusia tidak boleh hidup dengan cukup bahagia tanpa muzik. Peranan muzik dalam sesuatu masyarakat adalah cukup jelas dan nyata. Maka, tidakkah harus memberikan pendidikan muzik yang sistematik kepada generasi muda untuk membolehkan mereka hidup dengan lebih sempurna dan bahagia?


Kesemua justifikasi yang tersebut di atas adalah juga sejajar dengan objektif-objektif untuk pendidikan di Malaysia seperti yang terkandung dalam Education in Malaysia (1985, hlm. 135) yang diterbitkan oleh Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Objektif-objektif itu adalah seperti yang berikut:

1. Untuk menentukan literasi yang berfungsi di kalangan rakyat Malaysia.

2. Untuk membekalkan para pelajar dengan kemahiran-kemahiran intelek dan psikomotor yang boleh menimbulkan satu tabiat di kalangan mereka supaya sanggup belajar serta bekerja secara lanjutan dan berterusan.

3. Untuk membentuk sikap-sikap tertentu yang sihat dan mulia di kalangan pelajar supaya mereka akan:
(a) menghormati serta menyayangi manusia yang lain
(b) mewarisi suatu komitmen dan rasa tanggungjawab terhadap kemakmuran dan kemajuan negara
(c) menghormati kerja-kerja buruh kasar

4 Untuk mewariskan budaya negara serta kebolehan untuk memperkayakan lagi budaya Malaysia kepada generasi muda (Digariskan oleh penulis).

5. Untuk membentuk etika tingkah laku sosial dan peribadi yang diingini di kalangan pelajar yang juga selaras dengan fahaman keagamaan dan moral kita Jika kita mengambil kira kelima-lima garis panduan tersebut, kita akan dapati beberapa aspek yang penting dari perspektif pendidikan di Malaysia seperti perpaduan negara dan moral tidak disebut secara nyata dalam senarai MENC yang telah dibincangkan tadi. Oleh yang demikian, kita boleh dan harus menambahkan lagi sekurang-kurangnya enam sebab mengapa muzik harus dipelajari oleh semua pelajar di Malaysia.

1. Muzik telah membantu manusia dalam hal-hal yang berkaitan dengan ibadah manusia sepanjang zaman. Elemen-elemen muzik yang terkandung dalam muzik ibadah daripada semua bangsa dan kaum sepanjang zaman adalah cukup jelas dan nyata. Maka, pembelajaran muzik sudah tentu akan dapat membantu kita dalam hal-hal yang berkaitan dengan muzik ibadah secara langsung ataupun tidak langsung.

2. Muzik mempunyai banyak potensi dan skop untuk mempengaruhi kelakuan dan pemikiran manusia sama ada secara positif atau negatif. Oleh itu, kita boleh menggunakan muzik secara positif untuk beberapa keperluan kebangsaan semasa seperti menanamkan rasa taat setia dan cinta akan nusa dan bangsa serta meningkatkan lagi perpaduan negara. Perpaduan negara merupakan salah satu matlamat utama dalam pendidikan di Malaysia sejak merdeka lagi seperti yang terkandung dalam Laporan Razak (1956).

3. Pada masa sekarang, soal untuk memperkenalkan warisan budaya kebangsaan serta identiti Malaysia difikirkan amat perlu. Perkara seperti ini adalah lebih ketara di kalangan negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Maka, pembelajaran muzik tradisional kita secara formal banyak membantu dalam aspirasi kebangsaan ini. 4. Soal moral adalah sesuatu yang diutamakan dalam proses pendidikan di Malaysia dan juga dalam proses pembangunan negara pada amnya. Hal moral ini juga adalah amat penting dalam semua agama. Dengan itu, lagu-lagu yang mengandungi lirik berkenaan, nilai-nilai murni, aspek moral, dan aspek akhlak yang baik boleh diajarkan kepada golongan muda-mudi dari peringkat prasekolah lagi.

5. Muzik juga boleh digunakan untuk membantu pengajaran mata-mata pelajaran yang lain di Malaysia, khasnya pada peringkat sekolah rendah. Lagu The Alphabet Song, misalnya, boleh digunakan oleh guru Bahasa Inggeris. Muzik juga boleh digunakan dalam konteks Pendidikan Jasmani dalam aktiviti-aktiviti seperti gimrama, aerobik, dan tarian-tarian rakyat.

6. Muzik boleh disifatkan sebagai "jendela dunia" kerana muzik boleh digunakan untuk lebih memahami kebudayaan asing. Selain itu, muzik juga boleh membantu para pelajar menyedari serta memahami konsep persaudaraan antara manusia sejagat.

Kesemua sebab yang telah dibincangkan di atas menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya setiap individu mempelajari muzik pada setiap peringkat pendidikan formal di Malaysia. Potensi melalui pembelajaran muzik untuk digunakan secara positif adalah begitu luas serta jelas dan nyata. Haruskah kita mengabaikan atau tidak mempedulikan potensi muzik ini dalam proses pendidikan kita?



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment